Saturday, February 27, 2010

Indahnya Sunnahmu Ya Rasulullah

Assalamualaikum pembuka bicara..

Saya terkesan untuk menyampaikan ilmu yang saya dapati dari sebuah masjid di sebuah universiti tempatan dengan tarikhnya 12 Rabiulawal 1431H..Seorang professor sebagai penceramah jemputan beserta seorang yang ahli dalam institusi agama di Johor dijemput untuk mengupas isu berkenaan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Tidak banyak yang dapat saya kongsikan di sini berikutan kelewatan menghadiri kuliah agama tersebut kerana terpaksa menyelesaikan suatu tanggungjawab sebagai seorang pelajar terlebih dahulu yang sinonim dengan tugasan,kuliah juga peperiksaan.

Suka saya menjelaskan dengan kurang terperinci berkenaan hujah professor tersebut yang menerangkan pengertian Surah al - Humazah yang rata-rata kita mungkin melupai akan dosa-dosa yang pernah kita lakukan sama ada secara sedar atau tidak, juga sengaja atau tidak sengaja..Maksud saya dengan perkataan kurang terperinci adalah kerana saya masih lagi dalam proses menuntut ilmu dan masih banyak yang boleh ditegur mahupun dipertikaikan dengan hujah saya ini..

Ya..Firman Allah dalam Surah al - Humazah ini berkaitan dengan pencela juga pengumpat..

Di bawah ini saya sertakan tafsir Surah al - Humazah ini:

1. Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,

2. yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung,

3. dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengkekalkannya,

4. sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.

5. Dan tahukah kamu apa Huthamah itu?

6. (yaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan,

7. yang (membakar) sampai ke hati.

8. Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka,

9. (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.

Mungkin kita kurang peka dengan pergerakan mulut kita sebagai seorang manusia yang diciptakan oleh Allah dengan sifat tidak sempurna..Kerana pulut, santan binasa..Kerana mulut, badan boleh binasa..Saya tidak mahu menceritakan perihal orang lain dalam hujah saya, cuma saya suka mendengar apa yang telah diucapkan oleh professor tersebut..

Dengan nada lembut dan penuh sopan, beliau berkata bahawa dewasa ini, telah ramai manusia lahir sebagai seorang pencela..Lalu mengumpulkan harta atas apa yang diucapkan hatta dituliskan oleh mereka..

Ya..saya menyokong professor tersebut yang menyampaikan pada semua jemaah tidak mengenal usia atau pangkat..Yang patut ditegur, harus ditegur..Seperti satu pepatah dahulu yang berbunyi :"Siapa makan cili, dia terasa pedasnya"..

Tidak!Beliau tidak menghina sesiapa pun dalam keadaan ini, cuma beliau mengingatkan kita yang selalu khilaf dengan dunia tanpa sempadan ini bahawa kita masih punya manual yang diberikan Allah dalam menguruskan hidup kita lantas kita dikenali sebagai seorang Islam..manual itu adalah Al-Quran juga sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Tugas beliau serba sedikit dalam menyampaikan kepada orang lain telah pun terlaksana..Sedang Nabi sendiri pun ada menyuruh kita untuk menyampaikan ilmu walaupun sedikit..Hujah saya berdasarkan hadis di bawah ini beserta petikan ayat al-Quran..

WAJIB MENYAMPAIKAN ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA

Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan pertunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. " (159, Surah Al-Baqarah).

"Dan (ingatlah!) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan kitab, iaitu: Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya .." (187, Surah Ali Imran).

Hadis Kedua Puluh Tujuh

27- عَنْ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِيُبَلِّغ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ. (البخاري ومسلم)

27 - Dari Abi Bakrah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir (mendengar hadis ku) menyampaikannya kepada orang-orang tidak hadir kerana sesungguhnya diharap orang yang disampaikan hadis itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham daripada yang menyampaikannya.

(Bukhari dan Muslim)

Hadis yang kedua puluh tujuh ini menerangkan bahawa:

(1) Soal menyampaikan ilmu agama adalah menjadi tugas kepada setiap orang yang mengetahuinya.

(2) Orang yang disampaikan kepadanya sesuatu ilmu agama, boleh jadi ia lebih faham dari orang yang menyampaikannya.

Huraiannya:

1 - Soal menyampaikan ilmu agama:

Agama Islam adalah agama untuk seluruh umat manusia dan segala bangsa dan dalam setiap masa, turun temurun hingga hari qiamat. Untuk meneruskan perkembangan Islam dalam segala tempat dan segala zaman itu, Nabi Muhammad s.a.w. , meninggalkan pesannya yang berupa perintah supaya tiap-tiap orang yang mendengar hadis Baginda dan ajaran-ajaran yang dibawanya, menyampaikannya kepada orang yang belum mendengarnya.

Dengan itu nyatalah bahawa tugas menyampaikan sesuatu hadis atau sesuatu hukum agama bukanlah tertentu kepada seseorang dengan jalan dilantik, tetapi dengan sendirinya menjadi kewajipan sesiapa jua yang menghadiri mana-mana majlis pelajaran agama, atau hadis Nabi, atau hukum-hukum Islam, menyampaikannya kepada orang-orang yang tidak hadir bersama, dengan sungguh-sungguh jujur dan amanah.

Demikianlah seterusnya dari seorang kepada yang lain, masing-masing menjalankan tugas menyampaikan ajaran-ajaran Islam, walaupun orang yang menyampaikan itu sendiri tidak begitu faham akan maksud hadis atau hukum yang hendak disampaikannya itu.

2 - Kewajipan orang yang disampaikan kepadanya sesuatu ilmu agama:

Orang yang disampaikan kepadanya pelajaran itu, wajib menerimanya. Tentang soal memahami maksud hadis atau hukum yang diterimanya, maka ia tidaklah terikat dengan fahaman orang yang menyampaikannya, bahkan ia boleh menyatakan fahamannya dengan berdasarkan kaedah yang tertentu dalam ilmu agama.

Pendeknya orang yang menyampaikan sesuatu hadis atau sesuatu ilmu agama dan Rasulullah s.a.w. boleh diterima daripadanya walaupun orang itu tidak begitu faham akan hadis atau ilmu yang disampaikannya; dan ia akan beroleh pahala dengan usaha penyampaiannya itu serta dikira dan golongan ahli agama.

Hadis Kedua Puluh Lapan

28- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ. (البخاري والترمذي)

28 - Dari Abdullah bin 'Amr ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sampaikanlah (apa yang kamu dapat) dari ku walau satu ayat sekalipun; dan ceritakanlah (apa yang sampai kepada kamu) dari hal Bani Israel dan (dalam pada itu) tidak ada salahnya (kalau kamu tidak ceritakan). Dan (ingatlah!) sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya dalam neraka.

(Bukhari dan Tirmizi)

Hadis yang kedua puluh lapan ini menerangkan bahawa:

(1) Ilmu agama, walau sedikit sekalipun, wajib juga disampaikan.

(2) Kisah-kisah Bani Israel boleh diceritakan.

(3) Balasan buruk bagi orang yang berbuat dusta terhadap Rasulullah s.a.w.

Huraiannya:

1 - Soal menyampaikan ilmu agama:

Ilmu agama tidak harus sama sekali disembunyikan, bahkan tiap-tiap seorang yang mengetahuinya wajib menyampaikannya kepada orang yang belum mengetahuinya walau pun ilmu itu hanya satu ayat dan Al-Qur'an atau satu hadis atau satu hukum. Dengan itu akan tersebarlah ilmu pengetahuan dan hukum-hukum Islam kepada seluruh umat manusia sebagaimana yang ditugaskan kepada Rasulullah s.a.w. dan umatnya.

2 - Kisah-kisah Bani Israel:

Kisah-kisah Bani Israel tidak salah diceritakan, asalkan kisah-kisah itu tidak diyakini dustanya. Itu pun mana-mana yang mengandungi pengajaran dan mendatangkan iktibar, seperti kisah kaum yang diperintahkan membunuh diri untuk bertaubat dan dosa mereka menyembah patung anak lembu, dan kisah kaum yang telah diubah keadaan mereka kepada keadaan monyet dan babi kerana kesalahan mereka melanggar perintah dengan melakukan tipu helah.

3 - Balasan berbuat dusta terhadap Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam hal menyampaikan apa yang datang dari Rasulullah s.a.w., tiap-tiap seorang hendaklah berhati-hati supaya ia tidak melakukan sesuatu yang dusta terhadap Baginda dengan mengatakan perkara yang disampaikannya itu berpunca dari Baginda pada hal yang sebenarnya tidak demikian.

Memperkatakan sesuatu yang dusta terhadap Baginda amat buruk kesannya kepada ajaran dan hukum-hukum Allah yang dibawa oleh Baginda. Oleh itu sesiapa yang sengaja melakukan perkara yang demikian maka berhaklah ia menerima azab seksa yang dijanjikan oleh Baginda dalam hadisnya ini.

Al-Ubbi, ahli hadis yang terkenal pensyarah kitab Sahih Muslim mengingatkan dengan berkata: perkara yang hampir kepada dusta atau yang berupa dusta, ialah memperkatakan kalimah-kalimah dalam hadis Nabi dengan sebutan yang salah (yang tidak menurut kaedah Bahasa Arab); oleh itu, maka tiap-tiap seorang yang beriman hendaklah berjaga-jaga dengan bersungguh-sungguh mengenai hal yang tersebut. Demikianlah juga diperingatkan oleh Imam Nawawi. Al-Ubbi berkata lagi: Sebagai bukti tentang apa yang dikatakan oleh Imam Nawawi dalam hal ini, ialah apa yang telah disalinkan oleh Ibnu Al-Salah dan Al-Asma'i yang pernah mengatakan: "Bahawa perkara yang sangat dibimbangkan terhadap seseorang penuntut ilmu hadis apabila ia tidak mengetahui ilmu Bahasa Arab, akan termasuk (di antara orang-orang) yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. (sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya di dalam neraka), kerana Baginda tidak pernah menuturkan sabdanya dengan cara yang salah pada kaedah-kaedah Bahasa Arab, maka pada bila-bila masa sahaja engkau meriwayatkan hadis Baginda dan engkau menyebutnya dengan cara yang salah, bermakna engkau berdusta terhadap Baginda!".

Dengan yang demikian - kata Ibnu Al-Salah lagi - adalah menjadi tanggungan seseorang penuntut hadis untuk mempelajari Nahu dan ilmu bahasa Arab sekadar yang dapat menyelamatkan dirinya dari perbuatan menuturkan hadis-hadis dengan cara yang salah dan dari merosakkan maksudnya yang sebenar serta dari akibatnya yang buruk.

Bagi pembaca-pembaca hadis Rasulullah s.a.w., hendaklah mereka menerima bacaan Hadis itu dari mulut ahli ilmu hadis yang menjaga dan memelihara sebutannya dengan betul,

Hadis Kedua Puluh Sembilan

29- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (أبو داود والترمذي)

29- Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang ditanyakan kepadanya mengenai sesuatu ilmu (agama), lalu ia menyembunyikannya nescaya Allah mengekang mulutnya dengan kekang dari api neraka, pada hari qiamat kelak."

( Abu Daud dan Tirmizi)

Hadis yang kedua puluh sembilan ini menerangkan tentang:

Balasan yang seburuk-buruknya bagi orang yang menyembunyikan ilmu agama.

Huraiannya:

Sebagaimana yang sedia diketahui, bahawa soal menyampaikan ilmu agama adalah suatu perintah yang ditetapkan oleh Allah Taala dan Rasul Nya Nabi Muhammad s.a.w. , .iaitu tiap-tiap seorang yang mengetahui sesuatu masalah agama, dituntut menyampaikannya kepada orang lain, sebagaimana ia dituntut mengamalkannya untuk kebaikan dirinya sendiri, kerana tujuan ilmu agama itu dipelajari ialah untuk diamalkan dan mendatangkan faedah, sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain.

Oleh itu, sesiapa yang menyembunyikan sesuatu masalah agama, atau tidak mahu menyebarkannya atau menerangkannya kepada orang yang bertanyakan masalah itu kepadanya, sudah tentu ia menentang perintah Allah dan Rasul-Nya dan menentang tujuan ilmu yang ada padanya. Dengan yang demikian, sudah sepatutnya ia dikenakan azab seksa yang seberat-beratnya sebagaimana yang tersebut dalam Hadis ini.

Berdasarkan hadis yang tersebut dan juga Hadis-hadis yang lain yang berhubung dengannya, alim ulama membuat kesimpulan bahawa orang yang ditanyakan kepadanya sesuatu masalah agama, wajiblah ia menerangkannya, dengan syarat:

Pertama - Orang yang bertanya itu berhak mengetahui masalah yang ditanyakan;

Kedua - Masalah yang ditanyakan itu dari perkara-perkara "fardu ain" kepadanya!

Hadis Ketiga Puluh

30- عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ وَرَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا. (البخاري ومسلم والترمذي)

30 - Dari Ibnu Mas'ud, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan kepada dua keadaan: (Pertama) keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda, serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu pada perkara kebajikan yang sebenar-benarnya; dan (kedua) keadaan orang yang dikurniakan Allah ilmu pengetahuan agama, lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya."

(Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Hadis yang ketiga puluh ini menerangkan tentang:

Dua Kelebihan yang sangat-sangat digalakkan beriri hati kepadanya.

Huraiannya:

Nikmat-nikmat yang diberikan Allah kepada hambanya amatlah banyak, tidak terhitung. Di antaranya dua perkara yang sangat tinggi nilainya dan besar kelebihannya untuk mencapai keredhaan Allah Taala.

Yang pertama - nikmat pemberian harta benda kepada seseorang yang dapat menguasai dirinya dan berjaya mengalahkan perasaan tamak halubanya, sehingga dapatlah ia membelanjakan hartanya itu pada perkara kebajikan yang sebenar-benarnya, bukan membelanjakannya dengan cara membazir atau kerana riak atau kerana menurut kemahuan nafsunya semata-mata.

Kedua - nikmat pemberian ilmu pengetahuan agama kepada seseorang yang menyedari tugasnya, lalu menggunakan ilmunya itu untuk mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain.

Rasulullah s.a.w. menerangkan dalam hadis ini: Bahawa dua nikmat pemberian yang tersebut amatlah besar kelebihannya sehingga mustahaklah tiap-tiap seorang beriri hati dan berusaha dengan bersungguh-sungguh semoga Allah mengurniakannya nikmat-nikmat itu supaya dapatlah ia menggunakannya menurut cara yang sebaik-baiknya seperti yang digunakan oleh dua orang yang tersebut.

Dengan berlakunya keadaan yang demikian, maka sempurnalah kebaikan seseorang meliputi jasmaninya dan rohaninya.

Hadis Ketiga Puluh Satu

31- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا. (مسلم وأبو داود والترمذي)

31 -Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka."

(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Hadis yang ketiga puluh satu ini menerangkan:

Kelebihan orang yang mengajak mengerjakan amal yang baik dan sebaliknya.

Huraiannya:

Sesuatu amal kebajikan, atau sesuatu perkara yang menyesatkan, banyak juga dilakukan orang dengan sebab ajakan atau pimpinan atau pun arahan orang lain. Demikian pula orang yang mengajak itu, banyak juga dapat menarik orang-orang melakukan perkara-perkara yang disebarkannya itu sama ada baik atau buruk.

Oleh itu, sesiapa yang mengajak melakukan sesuatu perkara, maka ia adalah bertanggungjawab terhadap perkara itu.

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa setiap orang yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal salih, sama ada amal itu kecil atau besar, maka ia diberi pahala sebanyak pahala yang didapati oleh orang yang menurut ajakannya, kerana dialah yang berusaha menyebabkan amal yang baik itu tersebar dikerjakan orang.

Sebaliknya, sesiapa yang mengajak ke jalan melakukan sesuatu amalan sesat, maka ia akan menanggung dosa, sebanyak dosa yang ditanggung oleh orang-orang yang menurut ajakannya, kerana dialah yang berusaha menyebabkan perkara yang menyesatkan itu tersebar dilakukan orang.

Demikianlah besarnya kelebihan dan kebaikan yang akan didapati oleh orang-orang yang mengajak, memimpin, menunjuk dan menyebabkan berlakunya sesuatu amalan yang diredhai Allah; dan sebaliknya amatlah besar padahnya bagi orang-orang yang menyebabkan berlakunya sebarang perkara yang dimurkai Allah `Azza wa Jalla.

Hadis Ketiga Puluh Dua

32- عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ عَنْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ غَيْرَهُ فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ. (الترمذي وأبو داود)

32 - Dari Zaid bin Thabit r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Semoga Allah menyerikan wajah dan memperelokkan keadaan orang yang mendengar dari kami sebarang hadis lalu ia memeliharanya (dengan ingatannya atau dengan tulisannya), supaya ia dapat menyampaikannya (kepada orang lain); - kerana boleh jadi ada pembawa sesuatu hadis hukum kepada orang yang lebih faham daripadanya dan boleh jadi juga pembawa sesuatu hadis hukum itu, ia sendiri bukanlah seorang yang memahaminya."(Tirmizi dan Abu Daud)

Hadis yang ketiga puluh dua ini menerangkan tentang:

(1) Kelebihan orang yang berkhidmat memelihara hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

(2) Orang yang menyampaikan hadis disyaratkan "Hafaznya" tidak disyaratkan "Fahamnya".

Huraiannya;

(1) Kelebihan orang yang berkhidmat memelihara Hadis-hadis Nabi S.A.W.

Orang-orang yang memelihara hadis-hadis Rasulullah s.a.w. amatlah besar jasanya! Apabila mendengar sesebuah hadis, mereka menghafaznya atau menulisnya dengan cermat, kemudian mereka menghebahkannya dengan sepenuh tanggungjawab. Ini bermakna mereka bekerjasama dengan Rasulullah s.a.w. menunaikan kewajipan dalam hal mengembangkan agama Islam yang dibawa oleh Baginda. Dengan yang demikian, sudah selayaknya perkhidmatan mereka mendapat balasan yang sebaik-baiknya.

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa perkhidmatan mereka dihargai oleh Baginda dengan mendoakan semoga Allah Taala menyerikan wajah mereka dan menjadikan mereka berpuas hati dengan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada mereka di dunia dan di akhirat.

(2) Orang yang menyampaikan hadis disyaratkan menghafaznya dan memeliharanya betul-betul, tidak disyaratkan memahaminya.

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. hendaklah disebarkan. Apa yang mesti disebarkan itu ialah kata-kata yang disabdakan oleh Baginda.

Ada pun tentang makna maksud hadis-hadis itu, terpulanglah kepada masing-masing memahaminya, kerana boleh jadi orang yang menyampaikan sesebuah hadis itu tidak memahaminya atau kurang mendalaminya, meskipun demikian, ia berkewajipan juga menyebarkannya. Dalam pada itu, boleh jadi orang yang disampaikan kepadanya itu boleh memahami lebih mendalam dari orang yang menyampaikannya.

Berbalik pada ucapan professor tersebut, tahukah sahabat bahawa kita seperti memakan daging sendiri?Firman Allah s.w.t. dalam Surah al – Hujurat 49,ayat 12 yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. [49:12]

Menggunjing di sini bermaksud mencela..

Dalam perjalanan Israk Mi’raj, Rasulullah s.a.w. sempat melihat suatu keadaan yang mengerikan.

“Aku diperlihatkan orang yang mencakar-cakar mukanya sendiri dengan kuku-kuku tajam mereka.” Lantas Rasulullah bertanya kepada Malaikat Jibril, “Wahai Jibril siapakah mereka itu?” Malaikat Jibril menjawab, “Mereka adalah orang yang mencela orang lain dan membuka aib kehormatan dirinya” [HR Abu Daud]

Masya Allah..Dalam keterangan mata kita untuk melihat, dalam kecerahan hari yang disinari cahaya matahari, dalam keceriaan keadaan sekeliling kita, mungkin kita kegelapan dalam menghayati maksud petikan ayat-ayat al-Quran juga hadis-hadis di atas..

Ada beberapa cara yang boleh kita buat untuk mengelakkan daripada ‘ter’umpat sesama rakan-rakan..antaranya adalah:

· Menetapkan niat dalam bersembang sesama rakan-rakan..kerana setiap apa yang kita lakukan adalah bersandarkan niat seperti hadis Nabi yang bermaksud setiap amalan itu dimulakan dengan niat..

· Mendiamkan diri jika ada rakan-rakan mula memasukkan umpatan di dalam setiap cerita mereka..Ooppss!!Tapi jangan lama-lama bila mereka mula rancak bercerita keburukan orang lain..

· Menjauhi rakan-rakan yang sememangnya dikenali sebagai kaki umpat..”Maaf ye kawan-kawan..saya ada kerja yang perlu diselesaikan..”

· Mencari alasan yang munasabah untuk melarikan diri dari situasi umpat-mengumpat.

· Akhir sekali, sama-samalah kita doakan untuk mereka yang gemar mengumpat agar sentiasa diberi hidayah oleh Allah..

Jangan terkesima jika kita pula menjadi bahan cercaan orang lain..Sabarlah menghadapi situasi sedemikian kerana mulut manusia memang sukar ditutup..Bila tiada respons dari orang yang diumpat, lama kelamaan, orang yang mengumpat akan berhenti mengumpat tentang orang yang diumpat..

Akhir kalam dari saya, belum terlewat untuk kita memperbaiki diri kerana matahari masih lagi memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan kita di dunia fana ini..Tetapi jangan pula kita leka kerana kita mungkin mati bila-bila masa sahaja..TOMORROW MAYBE WE DIED!Buatlah pilihan yang terbaik sama ada masih mahu menjadi pengumpat atau tidak..Pilihan di tangan sahabat-sahabat sendiri..Janganlah mencari murka Allah s.w.t.Tepuk dada,tanyalah iman kita..Buat sahabat yang sudah tersalah langkah,masih belum terlewat memohon keampunan dari Allah dan orang yang diumpat tadi..

Segala yang baik milik Allah..yang buruk adalah kelemahan saya sendiri..wassalam..

14. Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman),

[Surah al-A’laa 87:14]


0 comments:

Post a Comment

 

web site traffic statistics
Palm Harbor Florida Dating